'Assalamualaikum. Ni Dia ke?'
'Wa'alaikumussalam. Ya saya.'
'Err ni akak ni Kak Ra. Kenal tak? Ini Dia kan? Yang sekolah sama dulu kan? Yang sakit tu kan?'
'Err ya saya kak..'
'Sekarang tengah buat apa? Maaf ya mengganggu'
'Oh tidak mengapa. Tengah makan-makan sahaja. Ada apa ya?'
'Err sebenarnya akak nak minta tolong ni..Akak tak tahu dah nak minta tolong pada siapa'
'Erm tolong apa ya? InshaAllah kalau mampu saya bantu'
'Sebenarnya ada masalah sikit di tempat kerja. Komisen belum dapat'
'Ok..'
'Dan hari ini pula hari terakhir akak perlu membayar sewa rumah. Err kalau boleh akak mahu pinjam duit dengan Dia'
'Akak ada duit berapa sekarang? Akak sudah makan?'
'Err sekarang akak hanya ada RM7...'
'Sewa rumah akak berapa?'
'Err 400.. Dia ada duit tak? Bagi pinjam berapa pun tidak mengapa. Err tetapi kalau Dia ada duit lebih akak mahu pinjam 500 bolehkah? Hujung bulan nanti bila duit komisen dah masuk akak janji akan bayar'
'Beginilah akak, akak bagi dahulu nombor akaun akak nanti saya tengok berapa yang mampu bagi'
'Terima kasih ye Dia! Minta maaf sangat menyusahkan'
'Tidak mengapa'
Kemudian talian dimatikan. Dia meraup wajah. Allah... Biasiswa tiada. Pinjaman apatah lagi. Di hujung-hujung semester sebegini masalah kewangan pasti merisaukan seluruh penuntut menara gading. Kepala otak dikerah pantas mencongak-congak angka simpanan yang masih berbaki. Tidaklah banyak tetapi mampulah kiranya mahu meminjamkan sejumlah wang kepada Kak Ra yang sedang dirundung kesulitan waktu itu. Cuma impian untuk memiliki Nikon D90 harus diketepikan seketika.
Dia sapu muka kembali. Allah...Bagaimana mahu memutuskan? Bagaimana mahu membuat keputusan? Soalnya sekarang antara mahu dan mampu. Dia mencari kekuatan. Tiba-tiba Dia teringat perbualan dengan Pak Daus suatu ketika dahulu,
'Kenapa Pak Daus ni baik sangat? Mudah aja tolong jika ada orang minta tolong'
' Aku ini biasa-biasa sahaja. Andai ada orang meminta tolong dan pada waktu itu aku rasakan aku ada kemampuan untuk menolong maka aku akan tolong'
Senada jawapan Pak Daus membuatkan Dia ke kembali ke alam nyata.
Dia bertanya kepada Ayi pula,
'Ayi, kalau ada orang minta tolong pada kau dan kau mampu untuk menolong, kau akan tolong tak?'
'Erm kalau aku mampu aku tolonglah..tapi kalau bab duit tengok jugalah'
Resah di dada masih ada. Tiba-tiba hati berbisik, rezeki itu kan milik Allah. Apa yang kau risaukan? Ya Allah amat benar! Tepat sekali. Kenapa Dia tidak ingat? Sekarang Dia sudah punya jawapan yang amat meyakinkan.
Rezeki itu milik Allah. Jadi usah risau. Ya Dia semakin yakin dan teramat yakin. Lantas langkah pantas diatur menuju ke bangunan berwarna kuning yang tertera gambar kepala harimau di atasnya.
No comments:
Post a Comment