http://www.youtube.com/watch?v=h9TRUvdCO3Q&feature=share
Lantas, aku terimbau ke suatu pagi itu..
Pagi itu..aku masih melingkar di atas sejadah. Masih lagi berselubung dengan telekung. Huarghh sedapnya duduk mengeram macam ni!
Sekitar jam 7.30 pagi kurang lebih tiba-tiba sahaja seluruh rumah gempar.
"Cepat, cepat pi tengok Toknek jadi apa nuuu'
Aku bingkas bangun. Mencapai tudung ala kadar dan kami seisi rumah berlari ke rumah Toknek yang terletak sedikit terkehadapan dari rumahku kurang lebih dalam jarak 10-15 langkah.
Tiba di situ, aku lihat Toklang Timah, adik ipar kepada Tok ataupun nendaku, sudah sedia memangku kepala Toknek dengan mulutnya tidak putus-putus mengucapkan kalimah syahadah. Toklang 'Aq ,Cikyah dan Pakcik Sharol sedang mengalunkan surah Yaasin. Seterusnya orang ini datang, kemudian orang itu dan serta-merta seluruh rumah bergema dengan bacaan Surah Yaasin.
Lalu aku pandang Toknek..Kaku. Sayu. Dan aku dengar sesuatu.
Itu bukan bunyi stridor. Ya aku pasti. Juga bukan bunyi ronchi. Jauh sekali bunyi SOB (short of breathing). Tidak dan tidak. Bunyi seperti ini tidak ada dalam silibus nursing yang aku pelajari selama ini. Jujurnya aku tidak pernah mendengar bunyi sebegini. Ya Tuhan.. Bunyi apakah ini?? Aku berjeda. Lalu kembali ke alam nyata. Dan bunyi menderu-deram (ahh sebenarnya aku tidak tahu mahu gambarkan seperti apa) yang keluar dari mulut Toknek terus rancak bersahut-sahutan. Allahu Allah. Inilah dia bunyi seseorang itu mahu habis umur! Bunyi nafas tersekat-sekat saat sakarat! Allahuakbar...
Aku tidak tunggu lama untuk terus berwudhu' dan memulakan bacaan Yaasin dgn Quran yang sempat dicapai dari rumah tadi. Toklang menyuruh aku membaca surah Ar-Ra'du seterusya beberapa surah yang lain. Aku menyaksikan sendiri dengan mata kepala detik pertarungan nyawa seorang hamba di ambang sakarat.
Aku lihat Toknek, walaupun dengan mata yang terkatup, dia menggenggam erat-erat jari-jemari tangannya sekuat hati yang mungkin lalu dibawa rapat hingga ke dada. Terjemahan rasa betapa sakitnya nyawa sedang mula dicabut dari jasad barangkali. Allahu Allah.. Aksi itu berterusan dan berulang-ulang hingga suatu ketika Toknek sedikit tenang, tidak lagi bersusah payah bertarung seperti tadi. Menurut Toklang Timah, yang kebetulan memang seorang petugas yang menguruskan jenazah wanita sejak beberapa tahun lalu, kala ini nyawa sudah melepasi beberapa tahap dan sudah sampai ke bahagian dada. Toklang juga menunjukkan beberapa tanda yang jelas ketika nyawa sudah sampai ke stage ini, ke stage itu. Sungguh halus dan teratur rupanya urusan mencabut nyawa dari jasad walaupun rasa sakit sakarat itu hanya Tuhan saja yang tahu.
Pagi Aidilfitri kami sepi, sayu dan tidak langsung meriah seperti selalu. Bahkan buat julung-julung kalinya kami semua sekadar menunaikan solat sunat Aidilfitri di rumah sahaja.Takbir raya berkumandang bersahut-sahutan dari corong masjid di balik bendang sana. Kami terus bergilir-gilir membaca Yaasin di sisi Toknek. Toknek kelihatan lebih tenang dari semalam.
Menjelang hari kedua Aidilfitri merangkap Hari Kemerdekaan kita, Toknek kami lihat semakin tenang. Ketenangan itu terzahir di wajah yang redup serta seakan-akan tersenyum itu. Sekitar jam 2.30 petang, kebetulan waktu aku yang menunggu di sisi Toknek, Maksu Najihah datang untuk menggantikan aku kerana dia sudah menunaikan solat Zohor. Lalu aku pulang ke rumah bersama emak untuk bersolat. Entah kenapa mata terasa sangat berat dan aku diserang kantuk yang menggila. Tok juga merasakan perkara yg sama. Dalam keadaan hampir terlelap itu tiba-tiba telefon rumah berdering.
'Toknek dah takda ni!' suara Tokcik Munah, adik Tok, bergema di hujung sana.
'Allah!'
Kami bingkas ke sana semula.
Dan aku lihat Toknek memang sudah kaku serta seluruh tubuhnya sudah menjadi pucat tidak berdarah. Aku ke sisi kanan Toknek meraba urat di leher. Mencari carotid artery untuk mendengar nadi kalau-kalau masih ada yang tersisa. Kebetulan di sisi kiri Toknek ada seorang lelaki yang sebaya aku gayanya, dia juga turut meraba mencari urat nadi di leher. Dan aku mengagak dia juga seseorang dari latarbelakang bidang kesihatan. Telahan aku mengena bila terdengar dia berkata lebih kurang begini;
"Kalau ada stetoskop sedap sikit nak sahkan"
'Nak stetoskop? Ada di rumah'
"Ha boleh-boleh"
Rupanya dia bernama Hadi, cucu angkat Toklang Timah, seorang MA di Hospital Manjung. Patutlah..
Setelah dia lakukan auscultation dan kami sekali lagi check nadi di carotid artery, Toknek disahkan sudah tiada lagi. Daripada Allah kita datang, kepada Allah juga kita kembali...
Tidak sangka rupanya aku terlibat secara tak langsung dalam hal sebesar mengesahkan kematian Toknek.. Allahu Allah..
Kemudian, urusan pengkebumian. Disebabkan hari sudah menginjak waktu Asar dan setelah membuat perkiraan dan timbang tara yang terbaik lalu diputuskan bahawa jenazah Toknek akan dikebumikan pada jam 10 pagi esoknya.
Seawal jam 8 pagi, urusan memandikan jenazah dimulakan. Toklang Timah mengepalai urusan memandikan jenazah Toknek. Alhamdulillah dalam kalangan yang memandikan jenazah Toknek itu terdiri daripada kami semua anak-beranak, dari generasi kedua seperti Toklong dan Tokcik Munah, kemudian generasi ketiga seperti Long Najmiyah, Long Azirah, Cik Fatahiyah serta Maksu Najihah dan aku selaku wakil generasi keempat. Alhamdulillah yang teramat sangat!
Berpeluang merasai pengalaman memandikan jenazah sendiri dengan tunjuk ajar Toklang merupakan pengalaman yang amat bermakna. Dimulakan dengan langkah pertama jirusan cucian hadas kecil kemudian langkah kedua jirusan cucian hadas besar kemudian seterusnya jirusan air daun bidara kemudian disertai kapur barus. Sekadar itu yang aku ingat. Mungkin juga ada yang tertinggal. Dan baru aku sedar yang rupanya prosedur LO (last office) aka pengurusan jenazah yang aku belajar dan dilpraktikkan di hospital hanyalah sekadar satu persepuluh daripada ilmu pengurusan jenazah yang sebenar.
Setelah selesai segalanya jenazah diusung ke masjid. Aku, Makngah Yati, CikYah, Makcik Ju ikut serta ke masjid. Liang lahad Toknek betul-betul terletak di sebelah kanan kubur ayah. Disebabkan lokasi kubur memang betul-betul di tepi pagar masjid, maka kami memilih untuk berdiri diluar sahaja kerana aku rasakan di situ adalah angle terbaek untuk melihat jenazah dikebumikan.
Kala jenazah diusung ke liang lahad, suasana jadi bertambah sayu. Paklong Ali, Paklang Own dan Pakcik Ari turun ke dalam liang untuk menyambut sekujur jasad Toknek yang sudah tidak bernyawa. Kemudian tanah ditimbus sedikit demi sedikit hingga akhirnya lenyaplah bayangan keranda dari pandangan mata. Pakngah Ee, Pakngah Mat, Paklang Mizi, Pakteh Rodi bergilir-gilir dengan beberapa orang saudara mara yg lain untuk menyudahkan urusan pengebumian Toknek.
Kemudian Imam memulakan bacaan talkin. Dalam hati terdetik, Ya Tuhan..hanya beberapa saat sahaja lagi setelah 3 langkah jemaah bergerak meninggalkan perkarangan kubur, jenazah Toknek akan terus disoal Munkar dan Nakir. Allahu Allah! Tak terbayang aku akan hal itu..
Jauhkan Toknek dari azab siksa api neraka, ampunkan segala dosa-dosa Toknek serta cucurilah rahmat ke atas Toknek Ya Allah. Semoga Toknek tenang di sana.. Ameen..
Ramadhan 1432, Ramadhan terakhir buat seorang Toknek @ moyang aku yg bernama Zainab binti Husin. Tiada lagi selepas ini berkumpul di rumah Toknek membuat ketupat beramai-ramai seperti kebiasaannya tiap kali menjelang hari raya.
Erm Toknek sudah selamat kembali ke sana..kita pula bagaimana pengakhirannya...??
...Allahumma takhtimna bihusnil khatimah, wala takhtimna Ya Allah bisuuil khatimah..
...Allahumma takhtimna bihusnil khatimah, wala takhtimna Ya Allah bisuuil khatimah..
Ameen Ya Rabb~
No comments:
Post a Comment